Pernahkah kita bersyukur dengan apa yang ada. Berapa kerap kita melafazkan kesyukuran atas kenikmatan yang kita kecapi selama ini. Berapa banyak kenikmatan yang kita perolehi tanpa perlu membayar walau satu sen pun. Kita acapkalinya mudah lupa dan lalai untuk mensyukuri segala yang telah dikurniakan. Kesedaran serta keinsafan seringkali lahir apabila kita ditimpa sesuatu musibah. Kisah ini mungkin dapat memberi kesedaran kepada kita akan bertuahnya kehidupan yang dilalui selama ini…….
Disebutkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki yang dalam lingkungan usia 60-an yang sudah tidak bekerja lagi seringkali mengadu kesakitan pada bahagian kiri dadanya. Tidak pernah berlaku sebelum ini, namun sejak 2-3 bulan kebelakangan ini, penyakit tersebut kian menjadi-jadi. Atas pujuk rayu serta nasihat isteri dan anak-anak maka lelaki tersebut pergi mendapatkan pemeriksaan lanjut tentang sakitnya itu.
Telah ditakdirkan dengan kehendak Ilahi, lelaki tersebut disahkan menghadapi penyakit jantung. Namun, syukur kehadrat Tuhan kerana penyakit tersebut masih di peringkat awal dan perlu disegerakan rawatan dengan melakukan pembedahan bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.
Setelah berbincang dengan ahli-ahli keluarga maka lelaki tersebut bersetuju untuk menjalani pembedahan. Maha Suci Allah, pembedahan tersebut berjaya. Semua orang bergembira dan meraikan kejayaan tersebut. Namun, bila melihat akan kos pembedahan dan rawatan, lelaki tersebut menangis…Terlalu hiba hinggakan sukar untuk berkata-kata.
“Encik, jangan terlalu sedih. Kalau encik perlukan bantuan kewangan, kami boleh uruskanprocedur untuk dapatkan diskaun malahan encik boleh memohon sumbangan daripada tabung yang hospital kami sediakan bagi membiayai sedikit sebanyak kos ini, jika encik layak” Kata doktor yang datang menghulurkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.
Selang beberapa ketika, lelaki itu menjawab “Saya menangis bukan kerana melihat angka yang besar ni doktor, tapi apa yang membuatkan saya hiba, apa yang menyebabkan saya menangis adalah bila saya teringatkan bahawa Allah tidak pernah menghulurkan sebarang bil untuk bayaran selama saya hidup. Dia tidak pernah meminta bayaran untuk mata saya ini. Belum pernah untuk tangan saya, mulut dan kaki saya. Allah juga belum pernah menarik mana-mana nikmat pancaindera saya sehingga sekarang. Jika kerana jantung yang baru sahaja sakit beberapa bulan lalu ini memerlukan saya membayar sejumlah besar wang kepada manusia, maka tidak dapat saya bayangkan betapa banyaknya hutang dan bayaran untuk saya langsaikan dengan Allah jika dia meminta untuk membayar semua organ, anggota dan nikmat selama 60 tahun ini! “
Suasana menjadi kelu seketika. “Sesungguhnya Dia Maha Pemurah dan Maha Penyayang !” kata doktor tersebut sambil berjalan keluar daripada wad…
No comments:
Post a Comment